Sunday, February 7, 2010

WARISAN & ANTIKUITI MALAYSIA

1) Apakah definisi warisan?

Warisan adalah sesuatu yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Ia merupakan khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.Warisan kita adalah ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang diwariskan kepada kita memalui cara hidup, kepercayaan yang dijelmakan melalui objek budaya. Ia menggambarkan memori keseluruhan hidup masyarakat serta melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat itu.

2) Apakah skop-skop di dalam warisan?

-Berdasarkan kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005, pembahagian skop warisan adalah seperti berikut :

a) Tapak Warisan
-Iaitu kawasan atau zon warisan kebudayaan seperti tapak arkeologi, bandar, kampung dan lain-lain termasuk momumen, bangunan, dan tapak alam semulajadi seperti hutan, tasik dan lain-lain termasuk flora dan fauna.

b) Objek Warisan
-Iaitu meliputi benda-benda purba mudah alih, artifak, warisan kebudayaan ketara dan warisan kebudayaan tak ketara yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Harta karun (harta yang sengaja disorokkan) tidak termasuk di bawah kategori ini.

c) Warisan Kebudayaan Bawah Air
-Iaitu sesuatu warisan yang berada di bawah permukaan laut yang mempunyai hasil atau kesan campurtangan manusia yang meliputi tapak, struktur, bangunan, artifak, pesawat udara, kapal, kargo, objek prasejarah serta gabungan kesan arkeologi dan alam semulajadi yang telah diwartakan di bawah Seksyen 63, Akta Warisan Kebangsaan 2005.

d) Warisan Orang Hidup
-Iaitu mana-mana tokoh yang masih hidup yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan warisan serta telah diisytiharkan sebagai Warisan Orang Hidup di bawah Seksyen 67, Akta Warisan Kebangsaan 2005.

1 comment: